Kain telepuk merupakan salah satu daripada khazanah seni tekstil warisan bangsa sejak zaman berzaman. Dari segi bahasa, telepuk membawa makna sejenis tumbuhan – herba dan bunganya – merujuk kepada seroja biru, teratai kecil dan tunjung biru.
Dari sudut struktur, telepuk dapat diertikan sebagai bentuk kain yang berbunga-bunga. Ini bermakna, kain telepuk ialah kain yang dihiasi motif atau mempunyai ragam hias seperti bunga telepuk (seroja biru, teratai kecil dan tunjung biru).
Di sesetengah tempat seperti Jawa dan Bali, ia turut dikenali sebagai kain perada kerana menggunakan perada (serbuk berwarna emas dan perak) air mas sebagai bahan untuk melakarkan motif hiasnya. Manakala masyarakat Bugis dan Makassar di Sulawesi pula memanggilnya sebagai lipa garrusu iaitu kain gerus yang telah digerus (gosok) dengan kulit siput sebelum disepuh telepuk.
Dalam penghasilan motif hias kain telepuk, ia dilakukan melalui kaedah tenunan dan juga cetakan. Melalui kaedah tenunan, motif bunga telepuk akan ditenun pada kain dasarnya. Manakala melalui kaedah cetakan pula, kain dasar akan dicetak menggunakan sarang atau acuan khas yang diukir mengikut bentuk bunga telepuk. Permukaan sarang bunga itu akan disapu gam sebelum diterap ke atas serbuk perada dan kemudiannya dicetak di atas kain. Kain yang akan dicetak itu terlebih dahulu akan digerus dengan menggunakan kayu atau kulit siput licin untuk memastikan kualiti cetakan.
Dalam penghasilan kain telepuk, ia biasanya dihasilkan dengan motif bunga penuh. Ini bermakna ia ditenun atau dicetak penuh dan susunan bunga telepuk yang menghiasi kain dasarnya disusun berangkai atau berantai. Selain dari bunga telepuk yang menjadi motif utama, terdapat juga motif lain yang turut diselitkan seperti pucuk rebung yang menghiasi bahagian kepala dan kaki kain.
Kain telepuk biasanya digunakan sebagai kain lepas, baju, seluar, ikat pinggang atau ikat kepala (destar).
Tegasnya, kain telepuk merupakan ialah salah satu khazanah tekstil bangsa yang dihasilkan secara tenunan benang emas ataupun cetakan perada dan mengambil teknik ragam hias penuh menggunakan motif bunga telepuk sebagai motif utama.